Politik Sulaiman Ninam Shah

Sulaiman mula menceburkan diri dalam politik sejak tahun 1946 lagi, ketika penubuhan UMNO. Pada pilihan raya umum kedua, iaitu pada tahun 1959, beliau yang dicalonkan di bawah Perikatan berjaya menewaskan calon Pas dengan majoriti 7,020 undi untuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Parit Jawa. Kerjayanya sebagai wakil rakyat tidak dapat bertahan lama akibat serangan jantung ketika berumur 40 tahun, menyebabkan Sulaiman membuat keputusan menarik diri dari bertanding pada tahun 1964.

Bagaimanapun, beliau terus mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Muar sehingga 1967. Tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai Pengerusi Tetap bahagian tersebut. Pada tahun 1976, Sulaiman mula memangku tugas sebagai Pengerusi Tetap UMNO walaupun beliau sebenarnya memegang jawatan timbalan. Beliau hanya dipilih secara rasmi pada tahun 1978 dan mengekalkan jawatan tersebut sehingga kematiannya.

Selain itu, Sulaiman pernah dilantik sebagai senator selama dua penggal mulai tahun 1979 di mana beliau turut dilantik menjadi Timbalan Speaker Dewan Negara pada penggal kedua.